fbpx

Dong Jiao Zong Menyeru KPM Memandang Serius Terhadap Buli Dan  Gangguan Seksual Di Sekolah, Kerajaan Harus Melindungi Wanita Dan Kanak-Kanak Berdasarkan Konvensyen Antarabangsa  

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

6 Ogos 2021

Dong Jiao Zong Menyeru KPM Memandang Serius Terhadap Buli Dan  Gangguan Seksual Di Sekolah, Kerajaan Harus Melindungi Wanita Dan Kanak-Kanak Berdasarkan Konvensyen Antarabangsa

 

Dong Jiao Zong meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan segera memaklumkan status terkini berkaitan hasil siasatan terhadap insiden buli dan gangguan seksual di sekolah. Dong Jiao Zong juga menyeru guru yang terlibat dalam insiden berkenaan tampil ke depan untuk menghadapi siasatan dan menggugurkan saman fitnah terhadap Ain Husniza Saiful Nizam, seorang pelajar yang bertindak selaku pemberi maklumat (whistleblower). Memandangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang meratifikasi dan menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita, maka kerajaan harus mengkaji undang-undang yang sedia ada supaya pembelaan dan perlindungan hak kanak-kanak dan wanita di negara kita selaras dengan piawaian antarabangsa.

 

Kami menyeru guru yang terlibat dalam insiden berkenaan seharusnya menonjolkan nilai etika dan profesionalisme sebagai seorang pendidik, bukan sahaja menggugurkan saman fitnah, malah harus mengakui kesilapan mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar di dalam bilik darjah, serta memohon maaf kepada Ain Husniza Saiful Nizam. Selain itu, KPM harus memandang serius terhadap insiden tersebut kerana ini hanyalah satu daripada banyak lagi kejadian buli dan gangguan seksual di sekolah, keadaan ini mencerminkan ketidaksetaraan gender dalam pendidikan. KPM seharusnya secara proaktif mengambil langkah pencegahan, serta memberi kesedaran yang lebih meluas mengenai kesetaraan gender di sekolah, supaya mewujudkan suatu persekitaran pembelajaran yang selamat dan sihat kepada para pelajar, dan seterusnya  mengelakkan kejadian seumpamanya berulang pada masa akan datang.

 

Pada 28 April 2021, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan bahawa KPM akan melaksanakan siasatan dalaman dan mengambil tindakan tegas terhadap aduan mengenai seorang guru mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Namum sehingga hari ini, KPM masih belum mengumumkan laporan siasatan, mahupun mengemukakan langkah-langkah untuk memperbaiki ketidaksetaraan gender dalam pendidikan, dan seterusnya membanteras kejadian buli dan gangguan seksual di sekolah.

 

Pada halnya,  Persatuan Tindakan Semua Wanita Malaysia (AWAM) telah menerima aduan daripada 275 orang mangsa buli dan gangguan seksual di sekolah setelah berlakunya insiden Ain Husniza. Ini menunjukkan ketidaksetaraan gender yang amat membimbangkan di alam persekolahan. Kami berpendapat KPM harus memandang serius terhadap perkara ini,  dan menubuhkan satu jawatankuasa penyiasatan bebas untuk menyiasat kejadian buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan, supaya menangani isu ini dengan sempurna.

 

Perlindungan terhadap hak kanak-kanak merupakan amalan sedunia, maka,  seseorang pendidik bukan sahaja harus mempunyai profesionalisme keguruan, malah juga harus mempunyai perspektif yang betul untuk menjamin hak asasi manusia. Para pendidik harus memahami semangat prinsip-prinsip yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita. Kami mencadangkan KPM merujuk kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Pusat Sumber dan Penyelidikan Asia Pasifik untuk Wanita (Arrow) dalam laporan mengenai kesetaraan gender di Malaysia pada tahun 2021. Berdasarkan laporan tersebut,  pendidikan gender di sekolah dalam negara kita harus dipertingkatkan dengan segera, antaranya termasuk aspek pemahaman kesetaraan gender di kalangan guru,  pembelajaran mengenai konsep hak asasi manusia dan kesetaraan gender di sekolah, serta kualiti dan mekanisme perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Kesemua aspek ini amat perlu dikaji semula.

 

Hanya kerajaan yang prihatin terhadap penderitaan wanita dan kanak-kanak, serta komited untuk memikul tanggungjawab  dapat  membela dan melindungi golongan wanita dan kanak-kanak. Malaysia merupakan antara negara yang meratifikasi dan menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita, maka kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjamin, serta melindungi hak kesetaraan gender dan hak asasi kanak-kanak. Insiden yang dialami oleh Ain Husniza Saiful Nizam serta lain-lain kejadian buli dan gangguan seksual di sekolah tidak seharusnya berlaku kerana ini bertentangan dengan prinsip-prinsip konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan melindungi perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, serta menjamin kesetaraan gender. Selain itu, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak juga menjamin hak kebebasan bersuara seseorang kanak-kanak, maka pihak sekolah tidak seharusnya mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang mengutarakan hak dan kepentingan untuk mereka.